top
logo


Solatlah Sebelum Kamu Disolatkan
iluvislam

Home Artikel Isu Semasa Isu Palestin | 2/5/09
Isu Palestin | 2/5/09 PDF Print E-mail

 

Lagi isu terkini di Palestin yang kita cintai. Dr Muhammad 'Asqoul, Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh Jabatan-jabatan pelajaran sekolah bagi meningkatkan kemampuan intelek, pengetahuan am dan tahap kreativiti para pelajar, serta memberikan keprihatinan yang tinggi kepada aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pelajar terus membaca dan menelaah.

 

MasyaAllah, dalam keadaan rakyat Palestin yang sentiasa berdepan dengan ancaman serangan bunuh rejim kejam Zionis pun, rakyat Palestin masih gigih untuk meningkat ilmu pengetahuan masing-masing. Malah kita telah melihat semakin hebat serangan Zionis ke atas Palestin, semakin ramai lahirnya para cendekiawan rakyat Palestin di seluruh dunia. Di Malaysia contohnya kita dapat melihat ada pelajar-pelajar IPT yang terdiri dari rakyat Palestin yang membawa semangat jihad bersama-sama mereka. Salah seorang yang ana kenal ialah Abu Omar atau nama sebenarnya Naji yang berasal dari Gaza yang merupakan salah seorang pelajar PHD di UUM. Subhanallah, semoga Allah terus memberikan kekuatan kepadanya dan kepada kita semua untuk terus menegakkan agama Allah.


Seterusnya menurut akhbar Los Angeles Times, pentadbiran Amerika mahu undang-undangnya digubal agar Hamas boleh di bawa berbincang di mana undang-undang yang sedia ada melarang sebarang perbincangan dengan Hamas sehingga Hamas iktiraf negara haram Israel, meletakkan senjata dan mengiktiraf semua perjanjian yang ditandatangani di antara PLO dan Israel. Menurut akhbar itu lagi, pentadbiran Obama mahu menangani krisis kemanusiaan di Gaza tetapi buntu akibat larangan ke atas Hamas. Pentadbiran Obama ini menunjukkan mereka lebih bersimpati terhadap nasib rakyat Palestin berbanding pentadbiran  Bush.

Subhanallah. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan maka diharapkan Hamas dan rakyat Palestin akan mendapat pertimbangan yang adil terhadap hak-hak mereka ke atas tanah dan bumi Palestin yang telah dirampas oleh rejim kejam Zionis. Permohonan ini dilihat sebagai suatu anjakan baru yang dilakukan oleh pentadbiran Amerika dalam menangani isu kemanusiaan dan keadilan di bumi Palestin.

Seterusnya, dialog nasional Palestin yang berlangsung di Kaherah ditangguhkan ke pusingan kelima yang akan diadakan pada pertengahan bulan Mei ini. Perbincangan dalaman antara Fatah dan Hamas telah ditangguhkan sehingga 16 dan 17 Mei dengan tujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak bagi membincang cadangan baru Mesir yang bertujuan menyelesaikan semua perkara tertangguh. Pemimpin Hamas dan anggota pasukan rundingannya, Mahmoud Zahhar Selasa lalu menyatakan perbincangan itu telah ditangguhkan dengan tujuan memberi peluang kepada perunding kedua-dua belah pihak membincangkan cadangan-cadangan dan kemajuan terkini bersama pemimpin mereka. Zahhar juga menyatakan Palestin Liberation Organization (PLO) dan mengenai keselamatan adalah perkara paling rumit dibincangkan dalam pertemuan yang diadakan pada hari Isnin dan Selasa itu.

Menurut sumber, dalam kenyataan khas kepada Pusat Media Palestin pada petang Selasa (28/4): "Pada pusingan keempat ini, beberapa isu telah dibincangkan. Antaranya pilihanraya, Pertubuhan Pembebasab Palestin (PLO), pasukan keselamatan dan lain. Manakala perbincangan mengenai isu kerajaan Palestin akan datang serta agenda politiknya di tangguhkan kepada pusingan seterusnya, kerana dialog tersebut mengambil pendekatan membincangkan isu yang lebih mudah dahulu kemudian diikuti dengan isu yang lebih sukar dan sulit."

Sumber tersebut juga menjelaskan bahawa semasa perbincangan tertutup itu berlangsung di antara kedua-dua pihak Palestin dan disertai oleh menteri Mesir Umar Sulaiman, satu terma rujukan sementara nasional bagi PLO turut dibentuk. Ia adalah sebuah jawatankuasa yang terbentuk daripada seluruh fraksi Palestin, beberapa individu bebas dan jawatankuasa eksekutif PLO. Ia bertugas mengawal selia pembinaan semula PLO dan menjadi rujukan nasional PLO sehingga pilihanraya Dewan Perundangan yang baru dan dalam masa yang sama, autoriti jawatankuasa eksekutif sekarang masih berterusan.

Sementara itu, Usamah Hamdan, wakil HAMAS di Lubnan berpendapat Mahmoud Abbas, Presiden Palestin yang sudah tamat tempoh pemerintahannya telah memandulkan dialog nasional Palestin dalam ucapannya hari ini. Beliau juga menambah isi-isi ucapan Abbas saling bercanggahan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa perjuangan yang dilakukan HAMAS adalah hak yang diperakui dan dijamin oleh undang-undang, manakala perancangan Abu Mazin yang mahu menghentikan perjuangan tersebut tidak lahir daripada kelestarian nasional Palestin.
Beliau berkata dalam satu kenyataan kepada Stesen TV al-Jazeera pada hari Isnin (27/4): “Saya yakin bahawa Abu Mazin dalam ucapannya telah memandulkan dialog Palestin sebelum ia bermula, kerana nampaknya beliau kebingungan dengan kejayaan berterusan yang kami capai.” Seterusnya beliau menyatakan bahawa idea Abu Mazin itu tidak layak untuk diberikan perhatian dan pertimbangan.

Berkenaan syarat Abu Mazin dalam ucapannya itu agar kerajaan Palestin akan datang mengiktiraf syarat-syarat kuartet dan memberikan komitmen kepada persetujuan- persetujuan yang telah ditandatangani Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hamdan berkata: “Sebagai sebuah gerakan, kami mempunyai pendirian yang jelas terhadap syarat-syarat tersebut.”
Lagi serangan tentera haram Israel telah mengakibatkan 4 warga Palestin tercedera berdekatan tempat perdagangan Mintar di timur bandar raya Gaza akibat serangan angkatan tentera Israel.


Dr Muawiya Hassanein, pengarah ambulans dan kecemasan dalam kementerian kesihatan, memberitahu wartawan yang kondisi mereka yang tercedera adalah ringan dan sederhana. Di Semenanjung Barat, askar-askar Zionis telah menembak seorang lelaki Palestin berusia 62 tahun di daerah Al Khalil pada Isnin lalu menyebabkan kakinya cedera berdekatan Jalan Tarqumia, bandar raya Al Khalil.
 

Sumber: palestinkini. info

 

 

bottom
top

Pengenalan KARISMA


bottom

Powered by Joomla!. Designed by: Free Joomla Themes, hosting. Valid Dakwah and Da'e.